Penulisan merupakan penghasilan teks karangan, iaitu melibatkan proses dan hasil. Proses adalah menulis dan mengeluarkan idea, manakala hasil adalah buah fikiran yang telah dikeluarkan menjadi sebuah cerita yang lengkap.
Kebanyakan pelajar lemah serta kurang menguasai permulaan ayat bagi menulis perenggan-perenggan isi. Adakalanya, mereka dapat menyatakan idea namun idea yang ingin disampaikan oleh mereka gagal difahami dengan jelas kerana gaya penulisan ayat mereka pula tidak gramatis. Dengan ini saya telah memperincikan elemen yang perlu ada dalam penulisan karangan dengan lebih jelas.
Kaedah Menulis karangan
Perlu ada perancangan penulisan perenggan:
- Pengenalan
- Isi
- Kesimpulan
Perenggan Pengenalan
- Perlu mengandungi kata kunci iaitu ayat umum dengan ayat khusus.
- Ayat umum menggambarkan secara keseluruhan isu yang hendak diperkatakan.
- Ayat khusus pula berfungsi memberikan gambaran terperinci terhadap perkara atau isu yang diperkatakan.
- Boleh bersifat takrifan terhadap tajuk karangan, bersifat peribahasa, atau pernyataan terhadap pendirian penulis.
Perenggan Isi
- Perlu ada ayat topik dalam setiap perenggan isi.
- Ayat topik juga dikenali sebagai isi utama karangan yang sesuai dengan pernyataan ayat khusus yang diperkenalkan dalam perenggan pengenalan.
- Ayat topik boleh dibina di awal, di tengah atau di akhir perenggan.
- Namun, pelajar dikehendaki memilih untuk meletakkan ayat topik di awal perenggan.
- Pada bahagian ini, pelajar dikehendaki membuat huraian terhadap ayat topik atau isi utama, memberikan bukti atau contoh serta kesimpulan terhadap ayat topik yang dibincangkan.
Kesimpulan
- Perlu logik dan memuaskan hati guru (pemeriksa).
- Boleh menggunakan bentuk seperti berikut:
- Kesimpulan terhadap isu yang diperkatakan, atau;
- Mesej atau petua yang ingin disampaikan, atau;
- Pengulangan tema.
Formula Penulisan Karangan Ayat Topik (AT) + Ayat Huraian (AH) + Ayat Bukti/Contoh (AC) + Ayat Penyimpul/Penegas (AP) = Sebuah perenggan lengkap. |
Apa yang dimaksudkan dengan formula di atas?
Formula di atas merujuk kepada perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandung empat ayat hingga enam ayat dalam setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini:
a. Ayat Topik
b. Ayat Huraian
c. Ayat Bukti/Contoh
d. Ayat Penegas
Ayat topik - Ayat yang mengandung kata kunci jawapan yang menjawab kepada persoalan karangan.
- Ayat topik ini boleh diletakkan di bahagian awal, di tengah, atau di hujung sesuatu perenggan.
|
Ayat Huraian - Ayat huraian pula huraian tentang isi utama yang dikemukan yang bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama.
- Karangan yang baik akan mengemukakan beberapa ayat huraian.
|
Ayat Bukti/Ayat Contoh - Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandung bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan yang bertujuan untuk memperkuat hujah.
- Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang sengaja diada-adakan.
|
Ayat Penegas - Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian.
- Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti “Tegasnya”, “Oleh itu”, "Pendek kata" dan “Sehubungan dengan itu”.
|
RANGKA KARANGAN (Faedah Bersukan)
Pendahuluan
Sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan, dan sebagainya. Perbezaan tujuan inilah yang membezakan sifat sesuatu sukan itu. Misalnya, berenang secara bersaingan di hadapan ribuan penonton akan dikira sebagai sukan tetapi berenang bersendirian dikolam atau laut dilihat sebagai aktiviti rekreasi.
Isi (1)
Dapat menyihatkan tubuh badan. (AT)
- Apabila kita bersukan seperti berbasikal, bermain bola sepak, bermain badminton, dan sebagainya, badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam tubuh badan kita. (AH)
- Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika belajar di dalam kelas. (AC)
- Pendek kata, melalui aktiviti bersukan ini mampu menyihatkan tubuh badan daripada penyakit. (AP)
Isi (2)
Dapat mengeratkan hubungan dan menambah kenalan. (AT)
- Kita dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. (AH)
- Kebiasaannya, ketika kita berjoging atau beriadah di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan sesiapa sahaja yang berada di kawasan tersebut. (AH)
- Hal ini secara langsung dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.(AC)
- Oleh itu, bersukan ini dapat mengeratkan hubungan dan menambah kenalan secara meluas tidak kira di mana jua kita berada. (AP)
Isi (3)
Mengisi masa lapang secara bermanfaat. (AT)
- Semasa sesi latihan permainan atau beriadah berjalan, kebiasaannya ketika waktu lapang. (AH)
- Hal ini daripada kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat menghindarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti menagih dadah, merokok, mencuri dan sebagainya. (AH+AC)
- Jelaslah bahawa, mengisi masa lapang dengan menyertai sukan sedia ada dapat mengelakkan diri daripada perkara tidak berfaedah. (AP)
Isi (4)
Dapat mengharumkan nama baik sekolah, masyarakat dan negara. (AT)
- Sekiranya kita berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah, daerah, negeri mahupun negara. (AH)
- Apabila kita berjaya memenangi mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya mengharumkan nama sekolah, masyarakat dan negara sekali gus. (AH)
- Kemenangan ini juga dapat membuatkan nama kita turut dikenali sebagai atlet yang berjaya di dalam sukan terkemuka. (AH)
- Contoh, Khairul Hafiz Jantan merupakan seorang pelajar sekolah, tetapi beliau telah merangkul pingat emas di Sukan Asean di Indonesia. Lantas, kemenangan yang diperolehi beliau telah meletakkan sekolah dan negara Malaysia dipersada dunia.(AC)
- Oleh itu, menyertai sukan ini secara tidak langsung membuatkan diri kita lebih dikenali keran berjaya mengharumkan nama sekolah, masyarakat dan negara. (AP)
Penutup
Secara keseluruhannya, tidak menjadi satu kerugian pada diri kita jika kita bergiat aktif dalam bersukan. Malah, bersukan dapat membantu diri kita untuk lebih maju kehadapan serta lebih bersifat profesional dalam setiap tindakan yang dilakukan. Marilah kita bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk menjadi rakyat Malaysia masyarakat yang cerdas dan cergas.